suria

Empat Sahabat Menang Anugerah Pembina Muda Paddle Pop 2014

SELEPAS bertungkus lumus selama empat minggu termasuk mengorbankan cuti persekolahan mereka, empat sahabat baik dari SK Manjoi Dua, Ipoh, Perak dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pembina Muda Paddle Pop 2014.

Nur Hazirah Mahmood, Nur Izzah Ilyana Mohd Kamal, Nurul Hannah Shaber Shah dan Nur Hidayah Abidah Mohd Sulaiman, kesemuanya berusia 11 tahun menewaskan peserta dari 29 sekolah lain di seluruh Malaysia untuk merangkul anugerah tersebut.

Dengan bertemakan 'Magilika' pada tahun ini, mereka memutuskan untuk membina sebuah istana ajaib yang diperbuat daripada batang kayu aiskrim Paddle Pop dan beberapa bahan-bahan kitar semula seperti straw.

"Kami termasuk guru menghabiskan masa semasa cuti sekolah merancang bagaimana untuk membina struktrur istana itu," kata Hazirah.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman tersebut, pasukannya telah mempelajari betapa pentingnya nilai kerja berpasukan.

"Kami berkawan sejak berusia enam tahun dan perkara ini membuatkan kami lebih rapat antara satu sama lain," katanya.

Mereka juga membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM6,000.

Guru mereka, Kalsom Mat Saat @ Ibrahim berharap agar murid-muridnya boleh didedahkan dengan lebih banyak aktiviti seperti itu.

"Ia membantu murid-murid untuk mengetengahkan kreativiti mereka," katanya.

Pertandingan yang memasuki tahun kedua itu dibuka kepada empat pelajar dalam satu kumpulan berusia antara 10 hingga 12 tahun  untuk mencipta karya seni menggunakan bahan-bahan kitar semula termasuk batang kayu aiskrim Paddle Pop.

Pada tahun ini, 280 penyertaan dihantar dari 68 buah sekolah yang membabitkan 1,120 pelajar dari lima zon di seluruh Malaysia.

Daripada jumlah itu, 30 pasukan dipilih untuk menyertai kem akhir di Taman Tema Escape, Teluk Bahang.

Ketua Kategori Wall Ice Cream, Unilever (Malaysia), Holdings Sdn Bhd, Shawn Tan, berkata program outreach pada tahun ini menarik minat yang lebih tinggi di kalangan sekolah-sekolah yang tidak mengambil bahagian pada tahun lalu.

"Kami teruja melihat kreativiti mereka diterjemahkan pada usaha di peringkat akhir. Selain kreativiti yang memberangsangkan, kami turut menggalakkan kanak-kanak untuk mengamalkan prinsip penggunaan semula, mengurang dan kitar semula dari usia muda," katanya.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan