KOTA KINABALU: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sabah diminta menyiasat punca kekurangan bekalan minyak masak, gula dan tepung gandum dalam pasaran menjelang Ramadan akhir bulan ini. Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata kekurangan bekalan tersebut semakin ketara menjelang bulan Ramadan berbanding hari-hari biasa. "Kenapa masa Ramadan bekalan kurang...adakah kerana orang sibuk membuat kuih raya atau ada orang-orang tertentu yang mengambil kesempatan," katanya kepada pemberita sempena program Semarak Rakyat Komuniti 1Malaysia di sini Sabtu. Terdahulu dalam ucapannya, Jainab mengalu-alukan penganjuran program Semarak Komuniti 1Malaysia itu kerana ia mampu memperkasakan semangat perpaduan dan kerjasama antara pelbagai kaum. "Melalui program ini, akan membantu mempromosikan produk-produk yang dihasilkan oleh Komuniti 1Malaysia dan secara tidak langsung akan meningkatkan taraf ekonomi masyarakat dalam komuniti yang aktif dalam perniagaan," katanya.