Namun, katanya PDRM memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk menjayakan usaha itu dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan imej negara.
Ketika diminta mengulas Laporan Pemerdagangan Manusia 2014 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat yang dikeluarkan di Washington DC pada 20 Jun lepas, beliau berkata pelbagai perkara perlu diperincikan bagi melihat jika ada kelemahan yang boleh dibaiki.
"Ini laporan satu negara sahaja tetapi bagi pihak polis, kita ada langkah untuk bendung pemerdagangan manusia," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.
Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat itu meletakkan Malaysia pada Senarai Pemerhatian Tahap 3 daripada kedudukan sebelum ini di Tahap 2.
Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam menyatakan rasa kesalnya terhadap laporan itu kerana Malaysia amat serius dan komited dalam usahanya menangani pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.
Sementara itu, Khalid berkata polis akan terus memperketat kawalan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin berikutan berlakunya kes penyeludupan warga asing dipercayai menggunakan Lebuhraya Pantai Timur baru-baru ini.
Pihaknya akan memberi tumpuan utama pada tahap pengawasan di sempadan negara termasuk di Sabah bagi mencegah kegiatan penyeludupan atau penculikan berulang.
"Untuk Sabah, kita akan tambah lebih ramai anggota untuk mengawal di kawasan sempadan selain menambah peralatan keselamatan bagi memastikan tiada kegiatan penyeludupan atau penculikan berulang," katanya.