KUALA LUMPUR: Kabinet dijangka mengumumkan langkah permulaan dalam menghadapi cuaca kering dan fenomena El Nino di negara ini, minggu depan. Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata jawatankuasa khas Kabinet yang ditubuhkan untuk menghadapi fenomena itu akan mengadakan mesyuarat pada 30 Jun sekali gus mengumpul dapatan dan maklumat lanjut berhubung perkara itu. "Jawatankuasa ini membolehkan pemantauan dan langkah persediaan dibuat secara menyeluruh. Kelak, semua langkah untuk menghadapi impak fenomena itu dapat diselaraskan di setiap negeri. "Sebagai contoh, kita akan dapat rekod jumlah air di setiap empangan. Kita juga boleh tahu jumlah bekalan air mentah untuk kegunaan sesuatu tempoh dan adakah ia boleh tahan sepanjang fenomena itu," katanya ketika menjawab soalan Senator Dr Ariffin S.M Omar di Dewan Negara, Selasa. Jelas Mahdzir, agak sukar untuk kementeriannya memberi jaminan bahawa sumber air seperti dari empangan dan tangki simpanan mencukupi atau tidak terganggu ketika fenomena itu melanda negara. Oleh itu katanya, pelbagai persediaan telah dibuat supaya bekalan air tidak putus dan boleh sampai kepada pengguna antaranya pengguna industri diminta menggunakan air bawah tanah, kolam dan tasik selain pengguna domestik diminta menjimatkan penggunaan air setiap hari. Dilapor jawatankuasa khas itu ditubuhkan pada 15 Mei lepas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sebagai sekretariat. Jawatankuasa Khas Kabinet ini akan memantau impak cuaca kering daripada berbagai aspek termasuk perubahan iklim, kesihatan dan pertanian. Selain itu, penubuhan jawatankuasa akan membolehkan pemantauan dan pelaksanaan langkah-langkah mitigasi di peringkat nasional yang lebih menyeluruh bagi menyiapsiagakan negara untuk berdepan dengan fenomena El Nino ke atas semua sektor ekonomi dan sosial yang menggunakan air. Baru-baru ini Jabatan Meteorologi Malaysia telah membuat ramalan bahawa negara dijangka mengalami Monsun Barat Daya iaitu musim kering pada bulan Jun sehingga September tahun ini. Selain itu, ramalan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) bahawa fenomena El Nino berkemungkinan berlaku pertengahan tahun ini yang boleh berlanjutan antara enam hingga 18 bulan akan lebih memburukkan keadaan bekalan air negara khususnya bagi negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang paling teruk terjejas semasa cuaca kering yang lalu akibat kekurangan simpanan air mentah.