suria

Kastam Perak Rampas 7.9 Juta Batang Rokok Tidak Sah

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Datuk Hassan Ibrahim (dua, kanan) bersama Pengarah Kastam Negeri Datuk Mohd Nasir Said (kiri) dan Timbalan Pengarah Kastam Penguatkuasaan/Pematuhan Abdul Larif Abdul Kadir (kanan) menunjukkan rokok bernilai RM492,575.45 melibatkan duti/cukai RM 4,102681.62 pada sidang media di pejabat Kastam Bahagian Penguatkuasaan Ipoh, Selasa. - fotoBERNAMA
IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas 7.9 juta batang rokok putih dan kretek tidak sah pelbagai jenama yang bernilai RM492,575 dalam Operasi Outlet bagi Januari hingga 31 Mei tahun ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM Datuk Hassan Ibrahim berkata nilai cukai rokok yang dirampas RM4.1 juta.

"Daripada 559 premis yang diperiksa dalam operasi berkenaan, sebanyak 67 kes berkaitan penjualan rokok seludup berjaya dikesan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata 22 individu didapati bersalah oleh mahkamah kerana memiliki barangan larangan dan dikenakan hukuman denda mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dengan nilai denda keseluruhannya berjumlah RM66,858.

"Siasatan masih dijalankan bagi kes-kes yang belum dibawa ke mahkamah," katanya.

Hassan berkata Kastam akan melancarkan 'Ops Ramadan' mulai 30 Jun hingga 27 Julai di seluruh negara.

Katanya operasi berkenaan menyasarkan kepada penjualan, pengedaran dan permainan mercun dan bunga api menjelang sambutan Aidilfitri. 

"Anggota penguatkuasaan Kastam seluruh negara digerakkan untuk melaksanakan operasi ini dengan melakukan pemeriksaan di bazar Ramadan, pasar malam, kedai runcit dan mana-mana premis yang disyaki menyimpan bahan larangan itu," katanya. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan yang diketahui seperti senjata api, rokok, minuman keras, mercun dan bunga api diminta menghubungi Pejabat Kastam Bahagian Penguatkuasaan Perak di talian 05-527 2010 atau di talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.
kastam, rokok tidak sah

Artikel Lain