KOTA KINABALU: Sayap Pemuda bagi tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) untuk membentuk barisan bersatu dalam menangani isu-isu yang memberi kesan kepada negeri ini. Pergerakan Pemuda yang terlibat ialah Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). "Melihat asal-usul ketiga-tiga parti, tidak dapat dinafikan bahawa perjuangan kita adalah sama, iaitu untuk melindungi hak-hak serta mencapai kecemerlangan untuk manfaat rakyat Sabah," kata Ketua Pemuda PBRS Arthur Joseph Kurup. Antara perjuangan bersama mereka adalah kenaikan royalti petroleum, menangani masalah pendatang tanpa izin dan peruntukan sekurang-kurangnya sebanyak 35% kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak. Ketua Pemuda Upko Arthur Sen berkata dengan MoU itu, pergerakan Pemuda dari parti komponen BN di Sabah dan Sarawak tidak perlu berasa diketepikan lagi. "Dengan gabungan ini ... kita akan mula melihat bahawa suara kita perlu didengar dan diberi perhatian yang serius," katanya. "Melalui gabungan ini, kita mahu membantu pemimpin-pemimpin kita dan kerajaan BN sekarang untuk mentadbir negara dengan lebih cekap dan adil, keputusan yang boleh dinikmati oleh rakyat Malaysia, terutama orang-orang tempatan di Sabah dan Sarawak," kata Ketua Pemuda PBS Datuk Jake Jikulin Nointin.