suria

Ugut Adik Guna Parang, Penganggur Dipenjara

KUALA LUMPUR: Gara-gara mengugut dengan mengacukan parang dan pahat terhadap adik kandungnya, seorang penganggur hari ini dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nizam Manimaran Abdullah, 27, selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan niat mendatangkan kematian terhadap S. Ramarajan dengan cara mengacukan kedua-dua senjata itu.

Mohd Nizam melakukan kesalahan itu di Blok A-12-17 Projek Perumahan Rakyat, Kampung Muhibbah, Jalan Puchong di sini pada 11 malam, 20 Jun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling, tertuduh membuat bising dan memecahkan barang-barang di dalam rumah sebelum bertindak mengacukan parang terhadap adiknya.

Dalam kejadian itu Mohd Nizam juga cuba memegang tangan isteri Ramarajan dengan niat tidak baik dan menghalau pasangan itu keluar dari rumah yang mereka tinggal bersama.

Terdahulu sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, Ooi Chen memanggil Ramarajan yang hadir ke mahkamah hari ini, untuk memberitahu perasaannya selepas kejadian itu.

Ramarajan memberitahu mahkamah dia takut untuk tinggal bersama abangnya, kerana tertuduh sentiasa bersikap agresif dan suka membuat kacau.

Ashraf Rezal menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi perkara sama kerana ia akan menjejaskan masa hadapan anaknya yang masih kecil dan bagi menjaga hubungan keluarga.

Mohd Nizam yang tidak diwakili peguam semasa rayuan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia perlu menanggung isteri dan anak yang berumur dua tahun.


Penjara, Mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain