PETALING JAYA: Beberapa Ahli Parlimen mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap Akta Keharmonian Nasional sekiranya ia menghalang diskriminasi kepada orientasi seksual. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) Lim Chee Wee berkata beberapa Ahli Parlimen telah menyuarakan perkara tersebut semasa rundingan dengan mereka. Sambil memetik Perlembagaan Persekutuan, Lim berkata, tidak ada diskriminasi terhadap rakyat berdasarkan jantina dan ini juga mengambil kira orientasi seksual atau identiti. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama Ahli Parlimen tersebut atau parti mereka. Menurut Lim, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut berkata sesiapa saja tanpa mengira orientasi seksual perlu menikmati semua hak asasi dan kebebasan. "Jawatankuasa MKPN berharap agar Ahli Parlimen akan diyakinkan bahawa diskriminasi seperti itu adalah salah dari segi moral dan perlu digubal," katanya.