suria

Kabinet: Ramalan Meleset, Keputusan PM Luar Jangkaan

Najib bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan gembira dengan penyertaan kembali wakil MCA dan Gerakan dalam Kabinet ketika mengumumkan penambahan anggota Kabinet di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada Rabu.
PETALING JAYA: Pengumuman pertambahan anggota Kabinet yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak gagal menepati jangkaan pelbagai pihak yang mengharapkan berlakunya rombakan membabitkan barisan menteri dan timbalan menteri sedia ada.



Sebaliknya Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, keputusan Perdana Menteri itu menunjukkan Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) barisan menterinya mencapai sasaran.

"Sebenarnya ramai pihak harapkan akan ada pengguguran serta perubahan kedudukan portfolio, tetapi jangkaan besar itu tidak berlaku.

"Tapi ternyata Perdana Menteri mempunyai pertimbangannya sendiri. Dari sudut lain ia juga isyarat bahawa menteri yang ada sekarang ini memenuhi KPI," katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.

Dr Sivamurugan Pandian


Beliau mengulas mengenai pengumuman pelantikan tiga menteri dan timbalan menteri ke Kabinet Najib yang menyaksikan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong masing-masing dilantik sebagai Menteri Pengangkutan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong turut dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tiga lagi Naib Presiden MCA turut diberi portfolio sebagai timbalan menteri ialah Datuk Lee Chee Leong (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Chua Tee Yong (Kementerian Kewangan) dan Datin Paduka Chew Mei Fun (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Mengulas mengenai perkembangan tersebut Sivamurugan berkata, kesemua enam pemimpin kaum  Cina itu seharusnya menggunakan platform berkenaan untuk meraih kembali sokongan kaum mereka kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya selain perlu memainkan peranan yang efisyen di kementerian masing-masing, mereka juga bertanggungjawab untuk membela dan meyakinkan masyarakat Cina mengenai hala tuju kerajaan pimpinan Najib.

"Walaupun agak sukar, tapi ini adalah peluang terbaik untuk mereka menjadi penyambung atau pengantara rakyat dengan kerajaan.

"Kedudukan pemimpin Cina dalam Kabinet membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan kaum tersebut atau mana-mana kaum lain di negara ini," katanya.

Artikel Lain