KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas pelantikan wakil-wakil MCA dalam barisan kabinet bagi membantu dalam usaha pembinaan negara. Liow berkata, pelantikan ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin Najib sentiasa berusaha mengamalkan perkongsian kuasa bagi memastikan pembangunan negara yang berbilang kaum ini sentiasa dalam keadaan harmoni. "Saya berterima kasih dan melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri bagi pelantikan baharu menteri dan timbalan menteri dari MCA. Kami akan berusaha melakukan yang terbaik untuk melaksanakan tugas dan berkhidmat kepada negara dan menggerakkan negara ke hadapan," katanya pada Rabu. Liow yang juga anggota Parlimen Bentong berkata selepas meninggalkan kabinet lebih setahun lalu, beliau mendapati banyak perkara yang perlu dilakukan menteri dan timbalan menteri dari MCA untuk membantu perdana menteri. "MCA perlu meningkatkan usaha untuk mengejar apa yang telah kami tinggalkan, terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan dan dengan itu saya menyeru semua menteri dan timbalan menteri dari MCA untuk memberikan yang terbaik bagi menunaikan tanggungjawab kami," katanya.