KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan negara dilihat lebih mantap dengan kemasukan semula wakil MCA dan Gerakan yang melengkapkan lagi penglibatan semua kaum dalam pentadbiran Malaysia. | Penganalisis politik berpandangan Kabinet yang dicorakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mampu meneruskan pelbagai agenda transformasi, selain mengukuhkan lagi perpaduan serta keharmonian negara. Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Datuk Dr Ramlah Adam berkata, kehadiran wakil dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu memberi imej positif kepada negara dan membuktikan bahawa Najib benar-benar berpegang kepada janji. "Dahulu, MCA berikrar tidak akan menyertai kerajaan, tetapi Najib melihat dalam tempoh setahun ini bahawa perlunya wakil dari kaum Cina dalam Kabinet. "Yang penting, Perdana Menteri menunaikan janjinya dan tidak pernah menolak perwakilan orang Cina dalam kerajaan, sekaligus memberi imej positif kepada kerajaan di dalam dan luar negara," katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau mengulas pengumuman Najib mengenai pelantikan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong masing-masing sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut dilantik ialah tiga naib presiden MCA - Datuk Lee Chee Leong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ramlah menjelaskan pelantikan itu juga seharusnya memberi impak positif kepada agenda transformasi negara, dan menggesa rakyat menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada barisan kepimpinan negara. "Kerajaan bukanlah hendak menghancurkan negara malah mereka buat yang terbaik. Rakyat perlu sokong untuk mengurangkan persepsi buruk dan kontroversi dalam negara. Jika tidak, orang lain akan ambil kesempatan," katanya. Pensyarah Geopolitik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali pula berkata, suara masyarakat Cina akan lebih mudah disampaikan ke peringkat tertinggi dengan kehadiran menteri dan timbalan menteri dari MCA dan Gerakan. "Mereka yang baharu dilantik perlu berusaha turun padang untuk menunaikan apa jua manifesto yang dijanjikan serta mengembalikan keyakinan masyarakat Cina terhadap parti-parti itu," katanya. Beliau berkata, ketiadaan wakil MCA dan Gerakan dalam Kabinet menyebabkan pelaksanaan program transformasi kerajaan tidak dijalankan dengan sempurna kerana ia memerlukan kesepakatan semua kaum. "Transformasi kini lebih difahami masyarakat Cina yang dahulunya keliru. Ia juga memudahkan kerajaan menjalankan program-program untuk kebaikan rakyat kerana semua parti komponen (BN) bergerak menjadi satu," jelasnya. Sementara itu, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Azmi Hassan berkata menteri dan timbalan menteri yang baharu itu memikul tanggunjawab besar bagi memastikan sokongan pengundi Cina bertambah pada pilihan raya umum akan datang. "Perdana menteri telah memberi keyakinan kepada mereka, jadi keyakinan itu harus dibalas dengan tanggungjawab supaya MCA dan Gerakan dapat berada dalam satu landasan dengan komponen BN yang lain," katanya. Kesemua penganalisis politik itu turut bersetuju dengan kenyataan Najib yang berpuas hati dengan barisan Kabinet sedia ada. Mereka berpendapat Najib tidak perlu melakukan rombakan Kabinet kerana ia dianggap sebagai membuang masa sebaliknya barisan Kabinet sedia ada perlu mendalami portfolio masing-masing.