suria

Chew Mei Fun Guna Platform Timbalan Menteri Bantu Kumpulan Sasar

Chew Mei Fun
KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun berharap kemasukan semula beliau ke dalam Kabinet boleh menjadi platform untuk terus berkhidmat kepada rakyat khususnya terhadap pembangunan golongan wanita, orang kurang upaya dan kanak-kanak.

Menyifatkan pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai di luar jangkaan, beliau melihat pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai amanah besar sekali gus berazam untuk menggalasnya sebaik mungkin.

"Saya pernah berkhidmat di kementerian sama kira-kira enam tahun dan yakin ia memberi kelebihan untuk saya berkhidmat semula dengan lebih baik di situ.

"Saya juga berharap mana-mana usaha dan perancangan yang tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dapat direalisasikan dalam bentuk yang lebih sesuai dengan kehendak dan keperluan rakyat pada masa kini," katanya kepada Bernama.

Chew sebelum ini pernah menjadi setiausaha Parlimen dari 2004 hingga 2008 dan menjadi timbalan menteri di kementerian sama dari 2009 hingga 2010.

Mengenai, pelantikan beberapa lagi wakil daripada MCA dan Gerakan sebagai menteri penuh dan timbalan menteri, Chew berkata ia memperlihatkan aspirasi Perdana Menteri terhadap gagasan 1Malaysia yang sentiasa mengambil kira pendangan kaum lain dalam barisan kepimpinan kerajaan.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel mengalu-alukan kemasukan MCA dan Gerakan dalam Kabinet kerana masyarakat Cina memerlukan perwakilan dalam Kabinet.

Timbalannya, Datuk Dr S. Subramaniam pula berkata, perkembangan itu akan mengeratkan lagi tahap perpaduan rakyat berbilang kaum dan menambahkan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional. 


Artikel Lain