suria

Pelantikan Wakil MCA, Gerakan Lengkapkan Konsep Perkongsian Kuasa

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan semula wakil MCA dan Gerakan dalam jemaah menteri melengkapkan konsep perkongsian kuasa yang diamalkan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata pelantikan lima pemimpin MCA dan seorang dari Gerakan itu juga akan menghakis tanggapan masyarakat Cina kononnya kerajaan meminggirkan suara parti yang mewakili kaum itu.

"Cuma konsep perkongsian kuasa yang diamalkan sejak sekian lama itu terbantut seketika dengan keputusan MCA untuk tidak menyertai kerajaan selepas pilihan raya umum lalu.

"Namun, dengan keputusan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam akan memastikan tiada lagi pihak yang mendakwa tidak ada penambahbaikan dalam membawa suara masyarakat Cina dalam kerajaan," katanya pada sidang media selepas melancarkan I-Kad untuk pelajar antarabangsa di sini pada Khamis.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Peljaran kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Semalam, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai Menteri Pengangkutan manakala Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong turut dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala tiga naib presiden MCA iaitu Datuk Lee Chee Leong dilantik memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datin Paduka Chew Mei Fun selaku Timbalan Menteri Pemmbangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata pelantikan itu merupakan satu cabaran kepada mereka untuk bekerja lebih keras memperkukuh kedudukan MCA dan Gerakan dalam memperjuangkan nasib masyarakat Cina dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Ini permulaan yang baik, dan masyarakat Cina harus ambil isyarat bahawa suara mereka kini boleh diketengahkan melalui parti politik sehingga ke peringkat tertinggi kerajaan, termasuk perdana menteri dengan pelantikan tersebut, katanya.

Berhubung saiz kabinet yang dianggap besar, Muhyiddin berkata perkara iu tidak dapat dielakkan kerana sebelum ini wakil MCA dan Gerakan tidak berada dalam barisan kerajaan.

"Isu kabinet yang besar tidak dapat dielak, cuma saya berharap menteri dan timbalan menteri yang dilantik dapat bekerja keras bagi melepasi tahap keupayaan melalui sumbangan yang disasarkan rakyat," katanya.

Berhubung isu kontrak pemberian projek pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang didakwa Pengarah Strategik PKR sebagai tidak telus, Muhyiddin berkata Kabinet dalam mesyuaratnya semalam telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar untuk memberi penjelasan segera bagi menjawab tuduhan itu.

"Walaupun pihak UiTM telah mengeluarkan kenyataan penjelasan tetapi jemaah menteri putuskan supaya Wahid Omar beri penjelasan terperinci, mungkin ada perkara yang tidak difahami Rafizi tentang konsep, asas atau model yang digunakan dalam projek itu," katanya.

Sebelum ini, Rafizi, yang juga anggota Parlimen Pandan mendakwa Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajudin Abdul Rahman mempunyai pegangan minoriti dalam konsesi penswastaan UiTM kampus cawangan Tapah, Perak, mengulangi perkara sama bahawa setiap konsesi syarikat yang membangunkan cawangan universiti itu mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno.


MCA, Gerakan, BN, Umno

Artikel Lain