suria

Kevin Zahri Perkenal E-Book Panduan Senaman Sempena Ramadan

PETALING JAYA: Pakar Kesihatan dan Kecergasan, Kevin Zahri memperkenalkan buku elektronik (e-book) mengenai panduan senaman di rumah khusus untuk bulan puasa.


E-book bertajuk ‘Ramadhan: 30 Rutin Senaman Circuit Rumah’ itu boleh didapati secara dalam talian untuk ahli berdaftar di laman web kevinzahri.com.

“Panduan elektronik dalam edisi bahasa Melayu itu bertujuan mendidik orang ramai cara senaman di rumah selepas waktu berbuka puasa.

“Sebagai contoh, katakan anda seorang ahli di gim dan kebiasaannya pergi ke gim selepas waktu kerja sebelum makan malam.

“Tetapi bila bulan puasa, ramai yang kena kerja sehingga waktu berbuka dan hanya dapat bersenam selepas itu. Jadi, ini adalah panduan senaman untuk anda,” katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah di sini, baru-baru ini.



Kevin berkata, beliau sebelum ini pernah memperkenalkan e-book mengenai ‘Panduan Diet dan Senaman Bulan Ramadan’.

Beliau bagaimanapun berkata, e-book berkenaan lebih tertumpu kepada teori dan kefahaman mengenai penurunan berat badan pada bulan puasa.

"E-book bulan puasa yang pertama lebih  menerangkan panduan untuk berbuka puasa dan bersahur serta perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang Ramadan.

“Manakala e-book kali ini merupakan edisi tambahan kepada panduan untuk Ramadan tetapi lebih menumpukan kepada senaman,” katanya.

E-book bertajuk ‘Ramadhan: 30 Rutin Senaman Circuit Rumah’ merupakan buku elektronik ke-12 Kevin selepas 20 Contoh Pelan Diet Malaysia, 45 Tip Kawal Nafsu Makan, Panduan Kurangkan 5 kilogram (kg) Dalam 5 Minggu, 45 Craving Saving Tips.

Antara lain adalah 25 Tip Elak Gemuk Di Hari Raya, dan Gemuk Air?, Panduan Kurang 4kg  Air Seminggu, Panduan Tambah Berat Badan dalam 10 Minggu.

Menurut Kevin, e-book yang paling popular adalah Panduan Kurangkan 5kg Dalam 5 Minggu.

Setakat ini, seramai 45,000 ahli seumur hidup melanggan e-book, termasuk video di kevinzahri.com.

Kevin menjelaskan,  keahlian seumur hidup itu dengan hanya bayaran sekali iaitu RM60 untuk melanggan e-book sahaja dan pakej e-book dan video RM80.

“Sepanjang keahlian seumur hidup, kita akan mengeluarkan lebih banyak e-book yang memberi panduan tentang pemakanan sihat dan senaman,” katanya.

Kevin Zahri, e-book, senaman

Artikel Lain