KUALA LUMPUR: Islamic Aid Malaysia (IAM) dan Radio IKIMfm melancarkan program 'Imarah Ramadan-Bantulah Mereka Berbuka' bagi memeriahkan sambutan bulan Ramadan yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi. Majlis ini disempurnakan oleh Pengarah Pusat Media, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Dr Nik Roskiman Abdul Samad. Memasuki tahun kedua penganjurannya, program ini diadakan bertujuan untuk berkongsi keceriaan dan kemeriahan Ramadan bersama-sama dengan golongan yang kurang berkemampuan. Program istimewa ini merupakan satu program kebajikan dengan konsep ziarah sambil menyumbang dan melihat sendiri serta merasai kesusahan dan penderitaan warga miskin yang memerlukan. Program ini turut menyediakan platform kepada masyarakat Malaysia yang prihatin terutama pihak korporat dan golongan individu yang prihatin bagi sama-sama menghulurkan sumbangan dan bergandingan tangan bagi memupuk sifat prihatin dan semangat kesukarelawanan di kalangan masyarakat Malaysia. Majlis ini juga turut menyaksikan penyerahan sumbangan pek makanan program 'Imarah Ramadan' kepada 20 orang ibu tunggal miskin dan kurang berkemampuan. Melalui program istimewa ini, para penyampai radio Ikimfm bersama-sama sukarelawan IAM akan berkunjung ke beberapa lokasi yang terpilih di negeri Kedah, Perak, Pahang dan Sarawak bagi tujuan menghulurkan sumbangan. Penjelajahan selama hampir sebulan di empat buah negeri ini bukan sekadar untuk menghulurkan sumbangan semata-mata, tetapi juga melibatkan pengisian program yang berunsurkan dakwah dan kerohanian bagi tujuan mengimarahkan lagi sambutan Ramadan. Orang ramai khususnya pendengar setia Radio Ikim.FM boleh mendengar secara eksklusif berkaitan misi jelajah ini melalui radio. Bagi tahun ini, IAM mensasarkan untuk mengagihkan 6,000 pek makanan kepada penerima yang layak di seluruh Malaysia mengikut pemerhatian dan kriteria yang ditetapkan.