KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus komited dalam usahanya untuk mendekati pendengar dengan pelaksanaan Program Jelajah Ramadan RTM 2014 yang dianjurkan buat kali ketiga. Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Mohd Ismail berkata, program pada tahun ini mengetengahkan aktiviti serta program berunsur kerohanian sepanjang Ramadan. "Program jelajah amal ini meliputi aktiviti seperti pemberian bantuan dan sumbangan kepada golongan asnaf, gotong-royong, kunjung ziarah, kelas bimbingan agama, tadarus al-Quran, majlis berbuka puasa, solat sunat tarawih dan pelbagai lagi," katanya pada majlis pelancaran jelajah itu di Angkasapuri di sini, Jumaat. Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Dr Ahmad Jailani Mohamed Yunus. Turut hadir Pengarah Bahagian Program Radio merangkap Pengerusi jelajah Dr Nawiyah Che Lah. Program Jelajah Ramadan RTM 2014 akan mula menjelajah seluruh negeri di Malaysia bermula dengan Sabah pada 29 Jun ini dan berakhir di Kuala Lumpur pada 27 Julai depan. Sementara itu, Nawiyah berkata, program selama 29 hari itu juga akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti baharu yang mampu menarik minat serta mendekatkan rakyat dengan peserta program, khususnya ikon RTM yang dibawa khas untuk menceriakan lagi perjalanan program berkenaan. "Melalui program ini, kami akan berusaha mendekati masyarakat istimewa seperti golongan Orang Kurang Upaya, warga emas dan anak-anak yatim dengan aktiviti dan program yang telah diaturkan. "Kami juga memperkenalkan satu aktiviti baharu iaitu 'Kuiz Jelajah Ramadan' dengan tawaran hadiah utama lumayan menanti pemenang berupa pakej menunaikan umrah untuk dua orang," katanya. Ketika ditanya tentang harapan beliau untuk sambutan program kali ini, beliau percaya sambutan akan sama seperti tahun-tahun sebelumnya yang dilihat amat menggalakkan. Beliau yakin program itu mampu mendapat kerjasama lebih luas daripada para pemimpin rakyat di daerah yang bakal dikunjungi peserta.