suria

Transformasi Pengangkutan Awam Catat Kemajuan

Muhyiddin Yassin, Tiong Lai bertanya sesuatu kepada pengguna LRT, Mohd Azlan Jmod (dua, kanan) dan Santhani ketika menggunakan perkhidmatan LRT untuk ke Stesen LRT Ampang bagi merasmikan Kompleks Parkir Bertingkat Stesen LRT Ampang pada Sabtu.

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan transformasi pengangkutan awam yang bermula 2010 memperlihat kemajuan memberangsangkan dengan nisbah mod pengangkutan awam bandar telah meningkat kepada 21 peratus berbanding 17 peratus empat tahun lalu. 

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia semakin menghampiri sasaran nisbah mod pengangkutan awam bandar 25 peratus menjelang2015. 

"Pada akhir 2013 sasaran purata bulanan 400,000 penumpang pengangkutan awam pada waktu puncak juga berjaya dilepasi dengan purata 437,525 penumpang berbuat demikian setiap bulan," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kompleks Parkir Bertingkat "Park n Ride" Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang bernilai RM30 juta pada Sabtu. 

Muhyiddin berkata peningkatan jumlah pengguna pengangkutan awam adalah disebabkan beberapa penambahbaikan yang diperkenal kerajaan.  

Antaranya penambahan set tren perkhidmatan KTM komuter daripada tiga gerabak kepada enam gerabak selain pewujudan hab pengangkutan awam bersepadu seperti Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan. 

"Inisiatif lain termasuk meningkatkan kesaling hubungan perjalanan dan menyediakan perkhidmatan bas bandar percuma yang berfungsi untuk menarik minat terhadap penggunaan pengangkutan awam dengan lebih meluas," katanya. 

Muhyiddin berkata dengan usaha intensif yang dilaksana di bawah kerangka Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)-Pengangkutan Awam Bandar, sasaran 750,000 penumpang pada waktu puncak akan dicapai menjelang tahun depan.

"Selain itu, sasaran 75 peratus rakyat akan mempunyai akses kepada laluan pengangkutan awam tahun depan," katanya.

Mengenai kompleks parkir bertingkat itu, Timbalan Perdana Menteri berkata ia satu contoh komitmen kerajaan dalam memastikan keselesaan rakyat menjadi keutamaan.

"Kemudahan 'Park n Ride' Ampang ini memberi kemudahan dan keselesaan secara langsung kepada pengguna perkhidmatan LRT di Ampang dan kawasan sekitarnya," kata Muhyiddin.

Kompleks dengan 1,140 ruang letak kenderaan itu telah mula beroperasi 1 Jun lepas.

Turut hadir Menteri Pengangkutan yang baru dilantik Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi Syarikat Prasarana Negara Bhd Tan Sri Ismail Adam dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Tan Sri Syed Hamid Albar.

Artikel Lain