JEDDAH: Penjara di sini membebaskan lebih 500 banduan sebagai pengampunan sempena kehadiran Ramadan. Pengarah Lembaga Penjara Jeddah, Ahmad Al-Shahrani berkata, syarat pengampunan itu selaras persetujuan Raja Abdullah. "Pembebasan itu sebagai tanda pengampunan kerajaan, sekali gus memberi mereka peluang untuk beribadah sepanjang bulan ini," katanya. Selain itu di Riyadh pula, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi tidak teragak-agak mengusir mana-mana ekspatriat yang didapati makan atau minum pada waktu siang di khalayak ramai sepanjang Ramadan. Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, ekspatriat bukan beragama Islam pula perlu menghormati sensitiviti umat Islam sepanjang bulan ini. “Majikan perlu memaklumkan perkara ini kepada pekerja mereka kerana ia tertakluk dalam syarat kontrak pengambilan pekerja,” katanya yang dipetik Arab News.