suria

Polis Ambil Keterangan Keluarga Wanita OKU Dikurung

KOTA BAHARU: Polis sedang dalam proses mengambil keterangan daripada anggota keluarga wanita orang kurang upaya (OKU) yang ditemui dikurung dalam sebuah bilik kecil di bawah rumah di Tumpat, Jumaat lalu untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata polis semalam mengambil keterangan abang dan kakak kepada Nasitah Yahya, 44.

"Kita akan cari saudara maranya yang lain untuk diambil keterangan. Wanita itu ada tujuh beradik semuanya," katanya kepada pemberita selepas majlis Serah-Terima Tugas Ketua Polis Kelantan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kelantan di sini Ahad.

Beliau berkata tindakan lanjut termasuk kemungkinan menahan mereka yang terlibat dengan kes wanita OKU itu akan dibuat berdasarkan keterangan dan siasatan.

Mazlan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 342 kanun Keseksaan kerana kurungan salah yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis menemui Nasitah dikurung di sebuah bilik berukuran 5.8 meter persegi dan setinggi lebih dua meter di Kampung Pasir, Pekan Hulu, Tumpat.

Dia dipercayai berada dalam keadaan demikian sejak 10 tahun lalu selepas kematian ibu bapanya.

Nasitah kini ditempatkan di Wad Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini untuk rawatan lanjut.

Mazlan, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Polis Kelantan, dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan yang baharu menggantikan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang kini menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah.

Isteri kepada Mazlan, Datin Anizah Musa kini menjadi Pengerusi Perkep Kontinjen Kelantan yang baharu menggantikan Datin Siti Aishah Haron. 

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan membanteras kegiatan jenayah dan penyeludupan melalui Ops Cantas Khas sepanjang Ramadan di semua daerah.

"Selain itu, wawasan saya adalah untuk memberi fokus kepada kes jenayah melibatkan dadah dan penyeludupan di kawasan sempadan sesuai dengan garis panduan yang ditetapkan pucuk pimpinan," katanya.
OKU, kurung

Artikel Lain