JOHOR BAHRU: Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Datuk Abd Rahim Ahmad, dihukum penjara setahun dan denda RM1.154 juta kerana didapati bersalah menyalah gunakan kuasa, dua tahun lalu. Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 58 tahun yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Bahagian Senggara Fasiliti Bangunan JKR Putrajaya. Tertuduh berhadapan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan dalam tempoh sebulan. Hukuman dijatuhkan Hakim Muhammad Jamil Hussin selepas meneliti hujah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan. Kesalahan itu dilakukan ketika mengendalikan projek Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral di Bukit Chagar apabila abangnya memperoleh projek penyelenggaraan penyaman udara. Abd Rahim didakwa meminta Pengarah Operasi Advanced Maintenance Precision Management Sdn Bhd, Saipolyazan M. Yusop untuk melantik YBA Technology Sdn Bhd, syarikat milik abangnya untuk menjalankan kerja bernilai RM196,000 bagi membekal, memasang, memeriksa dan menyediakan injap khusus untuk sistem air panas dan sejuk bernilai RM34,800 pada bangunan itu. Tertuduh melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 1.30 petang di Bangunan Sultan Iskandar pada 5 Januari 2011.