suria

Ramadan Perteguh Hubungan Dengan Allah, Sesama Manusia - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kesatuan dalam beribadah di bulan Ramadan dapat dimanfaatkan dalam memperteguh hubungan dengan Allah serta sesama manusia.

"Alhamdulillah, kita selamat melalui hari kedua Ramadan 1435 Hijrah. Ramadan mempersatukan kita dalam satu agenda ibadah yang murni.

"Semangat kesatuan inilah yang seharusnya kita manfaatkan dalam memperteguh hubungan dengan Allah SWT, hubungan silaturahim dengan anggota keluarga khasnya dan masyarakat amnya," kata perdana menteri dalam catatan terbaharu beliau di Facebook.

Sebelum ini, Najib dalam perutusan sempena Ramadan menyeru umat Islam agar memanfaatkan bulan Ramadan untuk memupuk semangat penyatuan dalam kalangan umatnya dalam satu agenda ibadah yang murni.

Menurut perdana menteri komitmen kesatuan itu juga perlu dikekalkan dengan penuh kepasrahan kepada Allah SWT dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara Islam moden yang progresif serta berstatus negara maju.

Dalam perkembangan sama, Najib berkata kerajaantelah menetapkan harga siling ke atas barangan harga terkawal mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri 2014 yang akan berkuat kuasa dari 20 Julai hingga 5 Ogos ini.

Bagaimanapun, dengan semangat rahmat Ramadan pada bulan suci ini, peniaga-peniaga juga digalakkan untuk menjual barangan harga terkawal kerajaan di bawah harga siling, katanya.


Ramadan, Najib

Artikel Lain