SUBANG: Ketika remaja lain sedang menikmati musim panas di Amerika Syarikat (AS), Matt Guthmiller membuat keputusan mengelilingi dunia secara solo menggunakan pesawat satu enjin dalam perjalanan sejauh 46,671km untuk membuktikan tiada apa yang mustahil dilakukan dalam dunia ini. Guthmiller, yang tiba di Subang pada malam Jumaat selepas penerbangan selama 12 jam yang meletihkan dari Nagpur, India, berkata matlamat beliau adalah untuk menjadi orang termuda dapat mencapai cita-citanya sekali gus memberikan inspirasi supaya orang lain juga berani mempunyai impian besar. "Dan itulah sebabnya mengapa penerbangan ini dipanggil Limitless Horizons. "Anda boleh mempunyai idea yang besar. Anda tidak perlu persekolahan atau pengalaman yang bertahun-tahun untuk melakukan perkara yang anda mahu. "Hanya keluar, pastikan apa masalah sebenar dan fikirkan bagaimana anda boleh melakukannya. Ini termasuklah untuk memulakan syarikat atau mencari beberapa matlamat yang anda mahu capai," katanya kepada The Star. Guthmiller menyahut cabaran untuk terbang mengelilingi dunia secara solo selepas membaca tentang Jack Wiegand, yang menjadi juruterbang paling muda berbuat demikian pada usia 21, tahun lepas. Ryan Campbell, 19, dari Australia memecahkan rekod tersebut beberapa bulan kemudian. "Saya akan memasuki usia 19, tetapi lebih muda daripadanya kira-kira tiga minggu. Ini menjadikan perkara ini sesuatu yang menarik," kata Guthmiller, yang memulakan perjalanannya dari California pada 31 Mei. Katanya, beliau akan berhenti di kira-kira 20 perhentian sebelum pulang pada 14 Julai. Selain bersaing untuk Guinness World Record, Guthmiller dari Aberdeen, Selatan Dakota, ini juga cuba mengumpul sumbangan sebanyak AS$250,000 (RM800,000) dalam usaha yang dipanggil Code.org, bagi meletakkan program pendidikan sains komputer di sekolah-sekolah. Baginya, sains komputer adalah sesuatu yang benar-benar hebat yang membolehkan orang ramai untuk membina sesuatu yang baharu. Bapa Guthmiller menceburi bidang hartanah manakala ibunya adalah ahli farmasi. Dia merupakan anak tunggal dalam keluarga. Pelajar Massachusetts Institute of Technology (MIT) ini berkata beliau mula menjadi seorang programmer ketika masih muda. "Pada masa ini, saya sedang belajar kejuruteraan elektrik dan sains komputer," katanya. "Sejak beberapa tahun, saya telah mula berkerja dengan beberapa syarikat dengan membangunkan sesuatu dengan komputer." Kelab Penerbangan EAA Malaysia menyediakan kemudahan persinggahan Guthmiller di Malaysia. Dia akan berlepas ke Manila pagi esok.