suria

Tawar Seks: Tukang Urut Dipenjara 5 Bulan

KUALA LUMPUR: Gara-gara menawarkan perkhidmatan seks kepada anggota polis, seorang tukang urut wanita berusia 52 tahun dikenakan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Cheong Lai Peng bermula dari tarikh tangkap selepas tertuduh mengaku bersalah menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis berpangkat koperal.

Wanita itu didakwa melakukan perbuatan itu di tepi Hotel Eastern, Jalan Raja Laut di sini pada pukul 9.50 malam, 12 Jun lepas.

"Saya mengaku buat itu tapi kalau saya tahu dia polis, saya tak akan tawarkan perkhidmatan seks kepadanya," katanya yang didakwa mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang penganggur Dahalan Abdul Ghani, 29, dipenjara lima bulan selepas mengaku bersalah mengugut sambil mengacukan sebilah parang terhadap B. Prathish Kumar, 24, dan adiknya, Premkumar, Balasamy, 22.

Nurul'Ain turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 28 Jun lepas.

Dahalan didakwa mengugut adik beradik itu di Rumah Panjang, Jinjang Utara, Sentul di sini pada pukul 6.50 petang, 26 Jun lepas, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman ringan dikenakan terhadapnya dengan alasan dia hanya mempertahankan diri ketika diserang oleh mangsa dan rakan-rakannya.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian Dahlan mengacukan parang terhadap kedua-dua mangsa sambil berkata "You jangan fikir saya lepaskan you, you keluar saya mesti potong you" setelah beberapa kali diganggu oleh mangsa dan rakan-rakan, serta pernah dilanggar ketika menunggang motosikal.

Dalam kes berasingan di mahkamah sama, seorang penghantar surat, Premkumar Rajandran, 24, dikenakan hukuman denda RM1,500 selepas mengaku bersalah melakukan ugutan bunuh terhadap abang iparnya berusia 33 tahun, R. Perabagaran.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika dia gagal membayar denda tersebut. Bagaimanapun dia membayar denda itu.

Premkumar, yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di Rumah Panjang, Jinjang Utara, Sentul dekat sini, pada 2.15 petang, 8 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Joy Jothi.


Mahkamah, Penjara

Artikel Lain