KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menggubal sesuatu undang-undang yang boleh mengganggu-gugat keharmonian negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri. Beliau berkata, kerajaan juga tidak akan melakukan sesuatu secara tergesa-gesa dan menafikan bahawa Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional telah siap dan akan dibentang kerajaan di Parlimen. Nancy berkata, sesuatu draf rang undang-undang perlulah melalui proses penggubalan yang ketat, dan isi kandungannya hendaklah tidak bercanggah dengan undang-undang tertinggi di negara ini iaitu Perlembagaan Persekutuan. "Pada masa ini, saya sedang mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Mekah dan demi kepentingan rakyat Malaysia, adalah wajar isu ini diperjelas sebaiknya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Jawatankuasa Perundangan dan Dasar-Dasar Mempromosi Keharmonian Nasional di bawah Majlis Konsultasi Perpaduan Negara sudah menyerahkan tiga draf rang undang-undang berkaitan kepada Nancy untuk diteliti.