Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, MAS perlu melakukan pelbagai perubahan dalam usaha menjadikan perniagaannya berdaya maju.
"MAS perlu melakukan transformasi. Mereka kini melalui tempoh yang sukar dan mereka akan memberi taklimat kepada saya tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas pelancaran penerbangan sulung AirAsia X ke Xi'an, China.
Liow berkata, lebih banyak butiran terperinci akan didedahkan selepas pertemuan itu nanti.
Pada 2013, kerugian MAS meningkat kepada RM1.17 bilion, hampir tiga kali lebih tinggi daripada kerugian RM433 juta yang dicatat pada 2012.
Sementara itu, Khazanah Nasional Bhd akan mengemukakan pelan untuk memulihkan MAS dalam tempoh setahun dan ketika ini semua pilihan sedang diberi pertimbangan.
Khazanah Nasional memiliki 69.4 peratus kepentingan ekuiti dalam MAS.
Sementara itu, Liow berkata, kementeriannya sedang menunggu cadangan untuk membina lapangan antarabangsa kedua di Kulim.
"Kami sedang mengkaji cadangan yang sebenarnya dibuat lebih 10 tahun lalu. Saya akan menghubungi orang yang bertanggungjawab supaya mereka dapat memberikan kami cadangan itu," kata Liow.
Kerajaan negeri Kedah sedang menimbang untuk mempunyai lapangan terbang antarabangsa kedua di Kulim bagi memenuhi jumlah penerbangan yang semakin meningkat di wilayah utara.