KUALA LUMPUR: Seorang daripada lima individu yang diburu polis kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan militan, Muhammad Joraimee Awang Raime disifatkan sebagai dingin dan tidak bergaul dengan jiran tetangga. Beberapa jiran Muhammad Joraimee, 39, atau lebih dikenali sebagai Abu Nur, yang tinggal di rumah ibunya bersama anak dan isteri di Taman Selayang Baru, Batu Caves di sini dilihat sering pulang lewat malam. Zalikha M. Hassan, 44, berkata Muhammad Joraimee dan kesemua anggota keluarganya juga tidak pernah keluar untuk bergaul dengan masyarakat sekeliling. "Dia satu keluarga memang tidak bergaul sangat...Kalau mereka ada di rumah pun cuma duduk di dalam rumah dan tidak keluar dan kalau keluar untuk kerja dan pergi sembahyang. "Tingkap rumahnya memang sentiasa bertutup macam tidak ada orang di rumah dan pintu rumah hanya dibuka untuk orang tertentu sahaja," katanya ketika ditemui dekat sini, Khamis. Zalikha berkata sikap dingin Muhammad Joraimee itu pernah membawa kepada satu kejadian pertengkaran kecil ketika jirannya mengadakan kenduri. "Tempat letak kereta yang terhad menyebabkan orang ramai yang datang tepaksa meletak kenderaan di hadapan rumahnya... Tetapi ia tidak disenangi Joraimee dan keluarga sehingga Joraimee bertindak mengarahkan kenderaan itu dialihkan" katanya. Katanya Muhammad Joraimee sudah hampir empat bulan tidak kelihatan pulang ke rumah. Ali Arsyad, 49, yang berjiran dengan Muhammad Joraimee sejak 30 tahun berkata walaupun mereka kenal sejak kecil namun dia agak pendiam. "Selepas SPM dia pernah bekerja sekejap dengan saya sebelum dia ke Mesir menyambung pengajiannya...waktu kerja dia bekerja seperti biasa tetapi selepas waktu kerja memang tidak pernah lepak bersama sampailah sekarang," katanya. Tinjauan Bernama di rumah Muhammad Joraimee, kakitangan Jabatan Urusetia Majlis Perbandaran Selayang (MPS), mendapati rumah itu kosong dan sebuah kereta jenis Toyota Avanza di hadapan rumahnya berhabuk. Sementara itu, seorang pengawal keselamatan MPS yang hanya dikenali sebagai Zulkifli, 46, berkata dia mengenali suspek sebagai seorang yang kuat agama namun jarang bertegur. "Kadang-kadang dia lalu ada juga tegur dan melalui keterampilan dan cara dia bercakap memang kuat juga agamanya. "Tapi dia tidak pernah cerita atau berkongsi sebarang aktivitinya di luar apatah lagi mengajak sebarang aktiviti bersama...Sejak tiga ke empat bulan lepas memang saya tidak nampak dia memasuki perkarangan MPS ini," katanya. Sementara itu, usaha untuk menemui ibu seorang lagi suspek, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Dr Mahmud Ahmad, 36, gagal selepas hampir sejam menunggu di hadapan rumahnya di Taman Selayang Baru, Batu Caves. Sepanjang tempoh sejam berada di pekarangan rumah suspek, kelihatan dua lelaki difahamkan adik-beradik suspek memasuki rumah berkenaan namun enggan ditemui. Pada 12.45 tengah hari, dipercayai sepasukan anggota polis keluar dari rumah suspek selepas menjalankan siasatan. Di TAWAU, usaha untuk bertemu anggota keluarga seorang lagi suspek, Mohd Amin Baco, 31, gagal apabila rata-rata penduduk di Kampung Titingan mendakwa tidak mengenali ataupun pernah mendengar nama suspek. Ketua Kampung Titingan, Ismail Amoo, 65, berkata beliau tidak mengenali Mohd Amin dan tidak pernah mengetahui bahawa suspek menetap di kampung itu. "Saya tidak tahu suspek tinggal di sini dan saya juga tidak pernah mendengar ada nama seperti itu di sini...tetapi saya tidak pasti sekiranya dia (suspek) menggunakan nama lain kerana kebanyakan penduduk di sini menggunakan nama samaran," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini. Usaha untuk menjejaki anggota keluarga seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Jeknal Adil, 30, juga gagal kerana alamat terakhir suspek di Kampung Kurnia Jaya Batu Empat Jalan Apas, Tawau kini, sudah tidak dihuni penduduk. Kebanyakan penduduk di situ telah berpindah ke tempat lain setelah terlibat dalam kebakaran yang memusnahkan lebih 80 rumah setinggan di kampung itu pada 17 Disember tahun lepas. Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan senarai nama lima individu yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kegiatan militan di negara ini. Mereka ialah Mahmud atau Abu Hanzalah, Muhammad Joraimee atau Abu Nur, pemilik kedai photostat dan alat tulis UM Mohd Najib Husen atau Abraham, 36, yang tinggal di Pangsapuri Tainia, Kota Damansara, Mohd Amin dan Jeknal Adil atau Jek.