PETALING JAYA: Tanggapan ramai bahawa penghuni rumah anak yatim hidup 'mewah' sepanjang Ramadan seharusnya diubah kerana ada yang sebenarnya berdikari dan tidak mengharapkan bantuan semata-mata. Itulah yang dapat diperkatakan mengenai penghuni di Rumah Kasih Harmoni yang terletak di Paya Jaras, Sungai Buloh ini. Rata-rata penghuni di sini seramai 93 orang terdiri daripada anak yatim dan asnaf dididik dengan nilai bina insan supaya dapat berbakti kepada masyarakat. Menurut Pengurus Rumah Kasih Harmoni, Jamaluddin Wahab, 35, sepanjang Ramadan, mereka menjalankan aktiviti gotong royong memasak bubur lambuk dan menu berbuka puasa bersama. "Saya mengajar mereka bukan hanya menerima bantuan daripada masyarakat tetapi memberi kembali dengan mengedarkan bubur lambuk yang kami masak kepada masyarakat di masjid, bazar ramadan dan pasar. "Pada bulan puasa juga ada sebahagian daripada penghuni di sini akan berbuka puasa di luar. Kita mengamalkan konsep berbuka puasa secara giliran, untuk berlaku adil kepada semua penghuni di sini," katanya. Program CSR ini memberi keceriaan kepada anak yatim dan anak-anak daripada keluarga yang termasuk golongan asnaf. Terdahulu, rumah kebajikan itu dipilih untuk majlis 'Colorful Dreams' sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Nippon Paint di Paya Jaras, baru-baru ini. Bercerita mengenai aktiviti sempena bulan mulia ini, Jamaluddin berkata, selain mengaji al-Quran dan mengulang kaji pelajaran, aktiviti luar turut dijalankan bagi mengisi masa terluang sementara menunggu waktu berbuka puasa. Mengulas mengenai sikap penghuni rumah kebajikan itu, Jamaluddin berkata, kadangkala gelagat mereka cukup mencuit hati dan ada ketikanya menyentuh perasaan. Ditanya mengenai persiapan penghuni rumah berkenaan pada hari raya nanti, katanya, mereka mendapat tajaan syarikat tekstil terkenal, Jakel sepasang baju bagi setiap penghuni. "Sambutan Aidilfitri dahulu dan kini berbeza, jika dahulu saya sering tempah baju yang sedondon untuk semua tapi kini kosnya agak tinggi. Namun kini, adalah lebih mudah untuk mendapatkan baju yang siap dijahit. Bukan apa kosnya pun lebih murah," katanya.