suria

Keputusan Serah Rizalman Ke NZ Tepat - Hishammuddin

BATU PAHAT: Kementerian Pertahanan menyokong tindakan Kementerian Luar yang akan menghantar Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail ke New Zealand untuk membantu siasatan berhubung kes dakwaan pecah rumah dan gangguan seksual.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman membuat keputusan tepat untuk menghantar Muhammad Rizalman, 38, yang dituduh melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita 21 tahun pada 9 Mei lalu.

"Kita tidak menyembunyikan apa-apa perkara dalam mengendalikan kes berkaitan seperti yang didakwa segelintir pihak termasuk pemimpin-pemimpin pembangkang, dan kes ini perlu ditangani secara telus," katanya dalam sidang akhbar sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Umno Batu Pahat di sini, Jumaat.

Hishammuddin berkata, keadilan harus diberikan kepada kedua-dua tertuduh dan mangsa. 

"Penghantaran pegawai terbabit penting bagi menjaga imej negara," katanya.

Muhammad Rizalman, 38, bekas pembantu staf pertahanan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dituduh melakukan pecah rumah dan serangan seksual dengan niat untuk merogol seorang wanita 21 tahun pada 9 Mei lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain