PETALING JAYA: Bekas pembantu staf pertahanan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand tidak akan dikeluarkan dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sehingga pemeriksaan kesihatannya selesai, menurut The New Zealand Herald. Herald difahamkan bahawa pegawai diplomatik itu diminta untuk ke New Zealand bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan terhadapnya kerana melakukan pecah rumah dan serangan seksual dengan niat untuk merogol seorang wanita berusia 21 tahun, mempunyai sejarah kemurungan. Seorang doktor di hospital yang menempatkan Muhammad Rizalman, 38, yang sedang menjalani pemeriksaan terhadap keadaan mental dan emosinya, memberitahu Herald bahawa Pegawai Waran ll itu tidak akan keluar sehingga pemeriksaan kesihatan terhadap beliau selesai. "Kami masih menunggu laporan pemeriksaan dan kemudian doktor masih perlu membuat laporan mereka," katanya. Isteri dan tiga anak Muhammad Rizalman telah ditempatkan di kediaman tentera dekat hospital dan melawatnya setiap hari. Satu sumber di Kuala Lumpur memberitahu Herald bahawa Muhammad Rizalman telah meminta supaya berada di Malaysia sehingga selepas Hari Raya. Bagaimanapun, difahamkan bahawa permintaan itu tidak dilayani, apabila seorang pegawai hal ehwal luar berkata, pegawai diplomatik itu akan dihantar kembali ke New Zealand secepat mungkin. Seorang pegawai kanan tentera dari Malaysia akan menemani akan menemaninya ke New Zealand. Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Kerajaan Malaysia akan menyediakan bantuan perundangan kepada Muhammad Rizalman sekiranya diperlukan. Kerajaan berkata, Muhammad Rizalman dijangka akan kembali dalam masa beberapa hari, bukannya beberapa minggu," lapor Herald.