suria

Rezeki Serunding Ramadan Cecah RM3,000 Sehari

Raisah sibuk membungkus pelbagai jenis serunding yang dijual di tapak bazar Ramadan Masjid Jamek yang dibuka sepanjang bulan puasa ini.
KUALA LUMPUR: Rezeki Ramadan yang pernuh dengan keberkatan melimpahkan keuntungan berlipat ganda buat peniaga serunding apabila mampu mencatatkan pendapatan sehingga RM3,000 sehari.


Sedap dijamah bersama lemang dan ketupat yang menjadi makanan wajib setiap kali menjelang Aidilfitri, makanan tradisi masyarakat Melayu ini turut digemari sepanjang masa.

Peniaga, Raisah Sahab, berkata, sambutan orang ramai terhadap serunding ketika Ramadan cukup menggalakkan termasuk tempahan pelbagai pihak termasuk korporat sempena Aidilfitri.

"Pelbagai jenis serunding digemari pembeli antaranya ayam dan daging, termasuk yang istimewa serunding kambing.

"Biasanya, serunding ayam dan daging dijual pada harga RM21 untuk 300 gram, manakala serunding ikan, RM15, termasuk serunding ikan bilis goreng," katanya ditemui, baru-baru ini.

Berusia 25 tahun, katanya jualan serunding tradisi keluarga yang diwarisi sejak berniaga pada 1982 menggunakan jenama Serunding Gombak dan ia terus mendapat sambutan ramai hingga sekarang.

Katanya, walaupun berniaga 12 jam sehari sempena Ramadan,  dia bersama anggota keluarga berpuas hati kerana sambutan yang baik di tapak bazar Ramadan di Masjid Jamek di sini.

"Sebelum ini, kami berniaga di pasar malam berdekatan Kompleks Campbell di sini dan apabila berniaga di Masjid Jamek, sambutan yang diterima sangat menggalakkan," katanya.


serunding, Gombak, Masjid Jamek

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain