suria

Rakyat Boleh Tulis Surat Kepada PM Mengenai Pelancongan Malaysia

CYBERJAYA: Rakyat Malaysia berpeluang menulis surat tidak rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyalurkan cadangan untuk meningkatkan industri pelancongan di negara ini melalui 'Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia 2014'.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Che Azemi Haron berkata tema pelancongan dipilih bersempena Tahun Melawat Malaysia, dengan sasaran penyertaan yang lebih banyak pada tahun ini berbanding 79,875 tahun lalu.

Peserta boleh memilih satu daripada tiga tajuk iaitu 'Kenapa Malaysia Menjadi Destinasi Pilihan Pelancong Asing', 'Pengalaman dan Keistimewaan Melancong di Malaysia' dan 'Cadangan Untuk Meningkatkan Industri Pelancongan di Kawasan Anda yang Berkonsepkan Pelancongan 1Malaysia'.

Selain kategori Sekolah Rendah (150-250 patah perkataan), Sekolah Menengah (350-500 patah perkataan) dan Terbuka untuk 18 tahun ke atas (550-700 patah perkataan), kategori baharu yang diperkenalkan adalah untuk orang kelainan upaya (OKU) dari 9 hingga 45 tahun (tidak melebihi 300 patah perkataan), katanya.

 "Surat mesti bertulis tangan dan tidak boleh ditaip kecuali bagi kategori OKU (penglihatan) surat itu hendaklah menggunakan mesin taip braille dan karya yang dihantar disertakan dengan terjemahan," katanya pada sidang media di sini Jumaat.

Pertandingan edisi ke-5 itu yang merupakan anjuran bersama Pos Malaysia Bhd dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pendidikan, bermula 1 Julai hingga 31 Ogos.

"Kita juga telah membukukan 100 surat terbaik setiap tahun iaitu empat buku dalam empat tahun lalu dan ia akan diterbitkan untuk pembacaan umum dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata selain menggalakkan budaya menulis di kalangan generasi muda dan masyarakat Malaysia serta meningkatkan kecekapan penulisan, pertandingan itu juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan industri pelancongan.

Sepuluh pemenang dalam setiap kategori akan menerima wang tunai, album setem, sijil, netbook dan hadiah-hadiah lain bernilai RM72,800 yang dijangka disampaikan pada 9 Okt bersempena Sambutan Hari Pos Sedunia.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web www.pos.com.my, www.skmm.gov.my atau di laman Facebook www.facebook.com/surat2014 dan www.twitter.com/surat1malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain