KUALA LUMPUR: Tindak balas pantas daripada orang ramai dan polis membawa kepada penangkapan seorang jurukimpal yang juga pemandu teksi berusia 39 tahun kerana didakwa mengelar seorang pemandu teksi sehingga mati dekat Jalan Pudu Ulu Cheras di sini. Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata polis dikejarkan ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh orang awam mengenai insiden yang berlaku kira-kira pukul 6.10 pagi Sabtu. "Kami menjumpai seorang pemandu teksi berusia 63 tahun terbaring berlumuran darah di tepi jalan raya, tidak jauh dari tempat suspek ditahan. "Siasatan awal mendapati jurukimpal itu adalah penumpang teksi mangsa. Kami pecaya pergelutan tercetus antara kedua-dua lelaki itu berhubung tambang," katanya ketika dihubungi. Mohan berkata polis tidak menolak kemungkinan bahawa jurukimpal itu cuba merompak pemandu teksi yang sedang memandu. Dalam perkembangan berasingan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata jurukimpal itu sebelum ini dikehendaki kerana memiliki ketamin dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah tetapi keputusan ujian dadah ke atasnya negatif. "Kami berjaya menjumpai sebilah pisau yang dipercayai digunakannya untuk membunuh pemandu teksi itu. "Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat," katanya.