BINTULU: Dua pekerja warga Filipina mati lemas dalam tangki simpanan minyak di sebuah kilang kelapa sawit di zon perindustrian Kidurong pada Jumaat. Jermie Onggolan Otat, 24, dan Rudolfo Jr Bation, 30, terjatuh dalam tangki itu, yang mengandungi air ketika melakukan kerja-kerja kimpalan. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, ketika dihubungi Bernama, berkata pihaknya menerima panggilan pada 9.16 malam dan mengambil masa 15 minit mengeluarkan kedua-dua mangsa. "Kedua-dua mayat sudah dihantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat," katanya.