KEPALA BATAS: Keadaan kesihatan Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, yang dijangkiti virus Ensefalitis Jepun (JE) menunjukkan perkembangan baik apabila kurang diserang sawan berbanding sebelum ini. Menurut ibunya Haniza Ayub, 40, sejak Jumaat anak sulungnya itu tidak kerap diserang sawan malah memberi respons apabila dipanggil. "Alhamdulillah, Ammar menunjukkan perkembangan yang baik walaupun keadaannya belum stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Kardiologi (CCU) sebuah hospital swasta di Bayan Lepas tetapi dia mampu memberi respons. "Menurut doktor yang merawatnya, keadaan perubatan Ammar juga menunjukkan perubahan positif dan petang tadi hospital sekali lagi melakukan imbasan (X-ray) untuk melihat perkembangannya dan saya difahamkan keputusan akan diketahui malam ini," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran Umno Bahagian Kepala Batas yang turut dihadiri anggota Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, di sini malam Sabtu. Pada majlis itu, Umno Bahagian Kepala Batas mengadakan majlis solat hajat untuk Muhammad Ammar Muqrish dan turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Haniza yang akan digunakan untuk membayar rawatan perubatan. Haniza yang bekerja kilang berkata serangan virus JE itu juga menyebabkan anaknya yang dijadual menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September nanti terpaksa ditangguhkan. "Dia seorang murid yang bijak dan saya tahu beliau telah membuat persiapan dan mengulang kaji pelajaran untuk menduduki UPSR, jadi saya berdoa agar Ammar dapat sembuh dengan segera," katanya sebak. Katanya, mereka sekeluarga juga berasa sebak menyambut Ramadan pada tahun ini kerana terkenangkan anaknya yang masih tidak sedarkan diri akibat virus berkenaan. Beliau berkata, Muhammad Ammar Muqrish mula belajar berpuasa sejak berusia lima tahun dan tidak pernah ketinggalan berpuasa serta sangat gembira setiap kali bulan Ramadan. Isnin lepas, akhbar melaporkan seorang murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini, Muhammad Ammar Muqnish disahkan dijangkiti virus JE dan kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas, dekat sini. Dua hari kemudian seorang kanak-kanak perempuan Norain Nasuha Shukri berumur dua tahun lima bulan turut disahkan dijangkiti virus JE selepas pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lalu adalah positif.