KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) hari ini mengarahkan semua agensi-agensinya untuk bekerjasama bagi mengenal pasti dalang di sebalik aktiviti pencerobohan tanah dan hutan yang berleluasa di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata beliau juga telah mengarahkan pegawai daerah serta pegawai tanah di kawasan berkenaan untuk memberi kerjasama mengenai aktiviti pencerobohan itu. Beliau berkata aktiviti pencerobohan didapati semakin berleluasa hingga menyebabkan kawasan itu menghadapi pelbagai risiko berlakunya tanah runtuh dan banjir kilat. "Aktiviti pencerobohan haram ini dilakukan sepanjang masa dan menjadi satu masalah besar di sana. Saya tidak tahu apa punca masalah ini dan ia sukar untuk dikawal. "Walaupun pemantauan sentiasa dijalankan dan saya sendiri ada buat tinjauan udara tapi kita tidak tahu siapa yang ceroboh untuk dijadikan kawasan pertanian," katanya selepas merasmikan Pesta Majalah Kuil di sini, pada Ahad. Menolak kemungkinan pencerobohan dilakukan masyarakat Orang Asli, Palanivel berkata kementerian bersama 12 agensi dibawahnya akan menjalankan kerjasama berterusan serta pemantauan rapi sebelum keadaan tersebut bertambah teruk. Dalam perkembangan lain, Palanivel berkata setakat ini keadaan jerebu yang melanda negara sekarang semakin pulih berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan penurunan di kebanyakan kawasan. Katanya, beliau akan bertemu rakan sejawatannya di Indonesia bagi mencari jalan penyelesaian masalah jerebu yang melanda negara saban tahun akibat pembakaran di Sumatera Tengah, Indonesia. Dalam pada itu, Palanivel berkata aktiviti pembakaran terbuka di negara ini masih berada terkawal malah kementerian akan menyiasat dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya.