Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata remaja itu akan ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan melalui perintah sementara daripada mahkamah.
"Alhamdulilah tahun ini adik Muhammad Firdaus boleh berhari raya dengan kami selain kami sedang mengesan warisnya yang lain supaya mereka boleh melawat beliau," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.
Sebelum itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M.Saravanan di pejabatnya di sini.
Mengulas kejadian seorang remaja yang maut dibelasah bapanya di Melaka, Rohani berkata pihaknya telah memberikan perkhidmatan kaunseling kepada ibu mangsa untuk berhadapan dengan kejadian tersebut.
"Kita telah memberikan sedikit bantuan iaitu sebanyak RM300 kepada keluarga tersebut dan akan menimbangkan untuk memberi bantuan berterusan kepada mereka," katanya.
Dalam kejadian 5 petang Sabtu lepas, mangsa Muhamad Hafiz Abd Ghani, 17 dilaporkan bertengkar dengan bapanya yang berusia 52 tahun di rumah mereka di Kampung Jawa Alor Gajah selepas Muhamad Hafiz menyatakan hasrat untuk bekerja kepada ayahnya namun tidak dipersetujui.
Ayah mangsa bertindak ganas dengan mengambil sebatang kayu lalu memukul anak sulung daripada 10 beradik itu bertubi-tubi sehingga Muhamad Hafiz rebah sebelum ibu mangsa, Siti Habibah Ismail menyedari kematian anaknya kira-kira 4 pagi Ahad.