Beliau berkata cadangan draf akan ditambah baik dari semasa ke semasa hasil proses konsultasi dengan pelbagai pihak.
MKPN sentiasa terbuka menerima cadangan dan jemputan untuk memberi penjelasan berkenaan penggubalan rang undang-undang itu dan bersedia memperbaiki cadangan draf sebelum diserahkan kepada Peguam Negara, Kabinet dan seterusnya Parlimen, katanya dalam kenyataan di sini , Selasa.
Dalam kenyataan itu beliau turut mengulas lapan unsur berhubung draf rang undang-undang itu yang dibangkitkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MuslimUPRo yang disiarkan sebuah akhbar pada Ahad lepas.
MuslimUPRo mendakwa tiga cadangan draf rang undang-undang yang dikatakan disediakan Majlis Peguam itu mengandungi lapan unsur yang boleh mengganggu-gugat keharmonian negara dan bukan memperkukuhkannya.
NGO terbabit mendakwa ia dilihat seolah-olah cuba untuk mengganggu-gugat keharmonian negara dengan usaha menghakis asas-asas dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya kedudukan istimewa Islam sebagai agama negara, kedaulatan institusi Raja-raja Melayu, hak kaum Melayu serta anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.
Mohd Zharif menjelaskan bahawa proses penggubalan rang undang-undang itu tidak hanya melibatkan Majlis Peguam kerana ia adalah inisiatif MKPN.
Proses mendraf dan menggubal rang undang-undang itu juga masih tertakluk dan sedaya-upaya dilaksanakan agar tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, katanya.
"Maklum balas dan penambahbaikan daripada semua pihak amatlah diperlukan kerana zaman 'kerajaan tahu segalanya' sudah berakhir.
"Rang undang-undang Harmoni Nasional akan menjadi undang-undang pertama di Malaysia yang melalui proses konsultasi secara terbuka dan tidak ada mana-mana pihak yang diketepikan," katanya.