suria

Perhilitan Tumpas Aktiviti Pencerobohan Di Taman Negara P.Pinang

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) Pulau Pinang berjaya menumpaskan aktiviti pencerobohan membabitkan dua warga Vietnam berhampiran Pantai Teluk Ketapang Kecil, Taman Negara Pulau Pinang, dekat sini.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam satu kenyataan malam Selasa memaklumkan kedua-dua mereka berusia 26 dan 20 tahun itu kini direman di Balai Polis Bayan Baru selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

"Hasil pemantauan dan perkongsian maklumat oleh anggota penguatkuasaan dari unit Kuatkuasa Taman Negara Pulau Pinang telah menemui kesan pencerobohan baharu seperti tapak khemah dan laluan rentis baharu dipercayai dilakukan penceroboh haram tersebut.

"Serbuan berjaya merampas sebahagian cangkerang Baning Bukit, tiga utas jerat dawai dan sekurang-kurangnya satu kilogram kepingan gaharu yang dipercayai akan diseludup keluar," menurut kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Akta Taman Negara 1980 [Akta 226] dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] iaitu bagi kesalahan menyimpan mana-mana bahagian hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas serta memiliki jerat.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
ceroboh, taman negara, Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain