suria

SuperMokh Diabadikan Pada Jalan

Nama legenda bola sepak negara diabadikan pada Persiaran Mokhtar Dahari, Selangor. Mokhtar Dahari (gambar kecil).
PETALING JAYA: Sumbangan tidak ternilai Datuk Mokhtar Dahari dalam industri sukan terus dihargai apabila nama legenda bola sepak negara itu diabadikan pada jalan di Selangor. 

Dinamakan Persiaran Mokhtar Dahari, ia terletak antara persimpangan ke Meru dan Puncak Alam hingga ke persimpangan arah Shah Alam.

Isteri Allahyarham, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim, 58 berkata, beliau dan keluarga gembira dengan pemilihan nama arwah suaminya dan tidak mempunyai sebarang bantahan mengenainya. 

"Perbincangan mengenai pemilihan nama jalan itu telah dilakukan bersama kerajaan negeri dan pejabat Sultan Selangor tidak berapa lama dahulu. 

"Saya dan keluarga tidak kisah sangat apa pun yang mereka hendak buat, syarat utama mesti menjaga nama baik arwah (Mohkhtar Dahari)," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas pada Selasa. 


Tetap dikenang...Tengku Zarina (kiri) bersama anaknya Nur Arina bergambar di depan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Kuantan. (Gambar fail)

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang melancarkan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara hari ini, turut mengumumkan nama baharu akademi tersebut sebagai Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari.

Allahyarham Mokhtar pernah mengharumkan nama negara di pentas sukan bola sepak dunia bermula 1972 sehingga 1985.

Dikenali sebagai Super Mokh, allahyarham yang meninggal dunia 23 tahun lepas itu disifatkan sebagai seorang yang tegas dan berdikasi dengan kerja dan sentiasa berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa tanpa cepat putus asa.

Selain itu, Istana Budaya turut mementaskan teater muzikal, SuperMokh yang mendapat sambutan ramai dengan Awie Wing memegang watak utama.

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata laluan sepanjang 8.7 kilometer itu membabitkan lebuhraya Shah Alam-Batu Arang yang menghubungkan Shah Alam dan Puncak Alam.

Menurut Ahmad Yunus, keputusan untuk menamakan jalan itu sempena nama legenda bola sepak negara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Exco pada Februari lalu.

Malah, katanya, keputusan tersebut turut mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Jalan tersebut dinamakan sempena nama Mokhtar Dahari bagi menghargai pengorbanan beliau dalam arena bola sepak negara," kata Ahmad Yunus.


Artikel Sebelum

Artikel Lain