suria

Remaja Perempuan Hilang Selepas Ikut Rombongan Ke Port Dickson

KUALA SELANGOR: Ramadan tahun ini tidak bererti buat seorang ibu yang kehilangan anak perempuannya berusia 17 tahun sejak 26 Jun lalu, selepas dikatakan keluar mengikuti rombongan ke Port Dickson, Negeri Sembilan. 

Fatimah Jasin, 50, berkata anaknya Siti Nor Asma Zaidi keluar rumah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan berpakaian blaus merah, tudung hitam dan seluar coklat merah selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seseorang.

"Akak ingatkan itu program sekolah dan tidak fikir apa-apa sebab dia tidak sekolah Khamis itu kerana kena ikut hantar pelajar.

"Sehari sebelum itu dia sekolah seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang kelainan. Hati berdetik bila tidak dapat hubungi Asma, tapi malam Sabtu dia ada hubungi akak dan maklumkan akan pulang ke rumah pada pagi Ahad atau lepas berbuka," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Fatimah berkata beliau mula bimbang selepas tidak dapat menghubungi Siti Nor Asma yang tidak pulang ke rumah selepas waktu berbuka puasa dan seterusnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor pada 30 Jun kerana tidak mahu kejadian tidak diingini menimpa anak ketujuh daripada 11 beradik itu.

Seterusnya, wanita itu berkata selepas bertanyakan rakan-rakan anaknya yang mesra dengan panggilan As, mereka memberitahu anaknya telah mengikut abang angkatnya.

"Akak sendiri pun tidak kenal lelaki itu. Akak dapat tahu As kenal dia melalui aplikasi Wechat dan dikatakan terima ajakan untuk ke Port Dickson. Luluh hati akak bila mengenangkan As yang entah macam mana keadaannya di tempat orang.

"Akak tidak mahu kejadian buruk berlaku ke atasnya. Akak merayu kepada Asma pulanglah ke rumah lebih-lebih lagi sekarang ini Ramadan dan tidak lama lagi nak raya," katanya sebak.

Ramadan, remaja, hilang

Artikel Lain