suria

Culik: Suspek Dipercayai Bocor Maklumat Dalaman Dikenal Pasti

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
KUANTAN: Pihak berkuasa sudah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai mungkin membocorkan maklumat dalaman pihak keselamatan susulan beberapa kes penculikan di perairan pantai timur Sabah kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengumpul bukti kukuh sebelum mereka itu ditahan.

"Kami masih menyiasat dan kami tidak begitu 'selesa' dengan beberapa individu. Saya belum boleh menuduh sesiapa kerana kita perlu mendapatkan bukti kukuh bagi menahan personaliti-personaliti yang kita syaki ini.

"Sebagaimana yang anda tahu pendirian saya, kita tidak akan berkompromi dengan perbuatan membocorkan maklumat dalaman kepada musuh," katanya kepada pemberita di sini selepas merasmikan Restoran Hyderabad yang menyediakan masakan India, di sini malam Isnin.

Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai pembabitan 'orang dalam' berhubung cubaan menculik seorang pemilik pusat ternakan ikan di Kampung Bangau-Bangau, Semporna oleh tujuh lelaki awal pagi Isnin.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kemungkinan kumpulan penjenayah yang terbabit dalam beberapa kes penculikan menerima maklumat daripada sumber dalaman berhubung kawalan keselamatan di perairan pantai timur Sabah bagi melancarkan kegiatan jenayah mereka di situ.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengesahkan kejadian terbaharu itu membabitkan penjenayah dari selatan Filipina.

"Saya sebutkan negara itu kerana kita ada bukti kukuh yang bolehkan mengaitkan suspek datang dari selatan Filipina," katanya.

Ahmad Zahid turut menyifatkan kejadian semalam berjaya dibanteras hasil usaha berterusan oleh Polis Diraja Malaysia yang menyelaras operasi di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Dalam kejadian terbaharu itu tujuh lelaki bertopeng bersenjatakan sepucuk pistol dan parang menceroboh pusat ternakan ikan tersebut bagi menculik pemiliknya namun berputih mata apabila pengusaha berkenaan bermalam di pekan Semporna setelah diarah oleh pihak berkuasa.
culik, Semporna, Sulu, Bangau-Bangau

Artikel Lain