suria

Model Warga Estonia Ditemui Mati Dipercayai Dibunuh

Gambar Soosalu bersama Tengku Alang Reza yang ditemui di Facebook milik model warga Estonia itu.

JOHOR BAHRU: Seorang model warga Estonia yang dikatakan mempunyai kaitan dengan seorang kerabat diraja ditemui dibunuh di Pulau Rawa membangkitkan banyak persoalan.

Model sambilan, Regina Soosalu pada awalnya dikatakan mati lemas apabila mayatnya ditemui di pantai pulau itu pada 1 Julai lalu, pada hari dia tiba di pulau berkenaan.

Bagaimanapun, polis kini sedang menyiasat kematiannya sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas menemui kecederaan "mencurigakan" pada badannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan berkata, setakat ini seramai enam suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Kesemua mereka berada di pulau itu pada hari kejadian tetapi saya tidak dapat mendedahkan lebih banyak maklumat kerana kita masih dalam siasatan," katanya.

Menurut sumber yang rapat dengan Soosalu dan teman lelakinya berkata, model itu dilihat kali terakhir oleh kakitangan hotel ketika model itu keluar dari biliknya untuk berjalan dekat jeti. Dia memberitahu bahawa wanita berkenaan tidak pulang selepas itu.

Teman lelaki kepada model itu, Tengku Alang Reza Ibrahim, mendiamkan diri berhubung kematian itu di akaun Facebooknya sehingga Selasa. Sumber memberitahu bahawa dia amat terganggu untuk menceritakan mengenai perkara tersebut.

Tengku Alang Reza menyifatkan insiden itu sebagai "tragedi paling buruk di dalam hidupnya".

“Cinta saya, Regina meninggal dunia pada 1 Julai lalu, di bulan suci Ramadan. Dia adalah cinta hati saya, rakan baik saya, dan saya akan terus menjadi inspirasi buat saya," kata Tengku Alang Reza di Facebooknya.

"Hatinya dipenuhi dengan kehebatan, cinta dan belas kasihan untuk semua mahkluk dan kehidupannya sendiri."

Bagi mengungkapkan kata-kata selamat tinggal, Tengku Alang Reza berkata: "kata-kata tidak dapat meluahkan kekosongan dan kesengsaraan yang saya rasai. Hanya ucapan perpisahan buat masa ini, tidak akan selamat tinggal. Hingga kita berjumpa lagi, saya mencintaimu My Baby, akan sentiasa di hati saya."

Ditanya adakah teman lelaki Soosalu turut dipanggil untuk disiasat, Hasnan berkata, polis belum lagi memanggil lelaki itu bagi siasatan.

"Kita telah memaklumkan Interpol (polis antarabangsa) berhubung insiden ini dan kita menyerahkan kepada mereka untuk menghubungi keluarga wanita itu.

"Saya percaya butiran-butiran mengenainya akan dimaklumkan kepada kedutaan Estonia di Beijing dan mereka sedang berhubung dengan keluarga mangsa mengenai siasatan kita," katanya.

Ditanya mengenai waktu dan lokasi insiden, Hasnan enggan mengulas lanjut dan berkata, polis sedang berusaha untuk mengesan waktu kematian.

"Mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan kita sedang menunggu laporan akhir," katanya.

Soosalu di Facebooknya berkata, dia sedang menjalinkan hubungan bersama seorang lelaki bernama Alang Reza sejak 3 Julai 2012.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain