KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan gagal menjelaskan bagaimana beg tangan jenama Louis Vuitton (LV) dan beberapa barang lain berada dalam milikannya, yang disyaki barangan curi. Muhammad Asnawi Fahmi, 19, didakwa memiliki beg LV itu, beg sandang berwarna hitam, beg kecil berwarna merah jambu yang mengandungi sarung tangan kain berkait dan besi pembuka skru dan sekeping nombor pendaftaran kenderaan WXY3280, di Lorong Pasar, Jalan Gombak, di sini pada 11.45 malam, 3 Julai lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil No 3 Tahun 1955 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi setahun dan denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Asnawi didakwa memiliki harta curi iaitu telefon bimbit Samsung GalaxyS4 di Perkarangan IPD Sentul pada 5.40 petang, 8 Julai lepas mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Majistret Mohd Norehan menetapkan 13 Ogos untuk perbicaraan. Peguam Ahmad Ridza Mohd Noh mewakili tertuduh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vasugi Krishnan.