suria

Jualan Donut, Amal Jariah Punca Rezeki RAPH

Rumah Amal Permata Hatiku, Jalan Gombak.

KUALA LUMPUR: Jualan donut dan sumbangan masyarakat prihatin dari semasa ke semasa membolehkan Rumah Amal Permata Hatiku (RAPH) memberi bantuan berterusan kepada 50 anak yatim, golongan asnaf dan Orang Kurang Upaya (OKU).


Malahan, kesederhanaan dalam semua aspek yang diterapkan adalah antara kunci untuk memastikan amanah arwah bekas guru yang mewakafkan rumah itu sebagai penempatan golongan kurang berkemampuan itu dipenuhi.

Pengurus Rumah Amal Permata Hatiku (RAPH), Dhiyauddin Mohamcmad berkata, operasi rumah kebajikan itu tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang ramai, sebaliknya pengurusan RAPH menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

"Kami menambah pendapatan melalui jualan donut buatan sendiri dan setiap petang donut itu akan dijual di kawasan perniagaan Jalan Gombak.

"Alhamdullilah hasil jualan itu, saya  simpan bagi kegunaan rumah ini, lebih-lebih lagi jika ada kecemasan," kata Dhiyauddin.


Dhiyauddin Mohamad

Memikul tanggungjawab pada usia 29 tahun, katanya,  sebagai penjaga RAPH, dia lebih mementingkan kesederhanaan dalam makanan, berpakaian serta perbelanjaan dan perkara itu diajar kepada penghuni rumah berkenaan.

"Saya tidak mahu mereka lalai, sebaliknya perlu tahu setiap tindakan itu ada tujuan sebabnya.

"Tambahan pula, bulan Ramadan ini rezeki mencurah-curah dan saya harapkan mereka tidak mudah leka," jelasnya


Sebahagian daripada anak RAPH bersiap sedia ke lokasi jemputan berbuka puasa. 

RAPH dikendalikan Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Permata Hatiku Kuala Lumpur dan Selangor mula bertapak pada 2010 Batu 14, Jalan Gombak, Selangor.

"Saya diamanahkan untuk menjaga anak-anak ini di sebuah rumah wakaf yang diberikan oleh seorang bekas guru yang telah meninggal dunia.

"Walaupun hanya 16 orang sahaja tinggal di rumah ini (enam lelaki 10 perempuan) yang berusia antara sembilan hingga 13 tahun, tetapi sebenarnya kami turut menyalurkan bantuan kepada 50 orang keseluruhan yang terdiri daripada anak-anak yatim, asnaf zakat, ibu tunggal dan juga OKU," katanya yang dibantu tiga pembantu lain.

Menurutnya, penghuni RAPH dipilih selepas pihaknya menyiasat latar belakang mereka terlebih dahulu dan setakat ini tiada yang pernah menimbulkan masalah, malah mereka hidup seperti adik beradik.




raph, jalan gombal, anak yatim

Artikel Lain