Sesi perundingan itu bertujuan melibatkan belia dengan penggubal dasar selain mengumpul makluman balas dan syor daripada belia berhubung draf rang undang-undang itu.
Anggota panel sesi terdiri daripada anggota NUCC Datuk Saifuddin Abdullah dan anggota jawatankuasa undang-undang dan dasar NUCC Mohd Zharif Badrul.
Kira-kira 30 penuntut dari pelbagai institusi pengajian tinggi menghadiri sesi perundingan awam itu untuk berkongsi pandangan dan mengemukakan soalan, termasuk pertanyaan sama ada NUCC merujuk kepada mana-mana akta serupa di negara lain dalam menggubal Rang Undang-undang Harmoni Nasional.
Ketika menjelaskannya, Saifuddin berkata antara negara yang Malaysia rujuk bagi penggubalan rang undang-undang itu ialah Singapura, United Kingdom, Kanada dan Afrika Selatan.
Pada sidang media kemudian, Saifuddin berkata satu daripada cadangan daripada Akademi Belia pada perundingan hari ini (Sabtu) ialah mengenakan hukuman lebih berat ke atas mereka yang melakukan kesalahan hasutan terhadap Sultan.