HANYA beberapa jam lagi juara Piala Dunia 2014 akan diketahui apabila perlawanan akhir menyaksikan pertembungan antara Jerman dan Argentina. Ketika ini, seantero dunia merasai bahangnya, begitu juga sebahagian artis dan personaliti sukan tanah air yang menanti-nantikan sepak mula perlawanan antara dua gergasi bola sepak dunia itu. Mengikut sejarah, kedua-dua negara pernah menjulang trofi berprestij itu di mana Argentina pernah bergelar juara pada 1978 dan 1986, manakala Jerman juara pada 1954, 1974 dan 1990. Yang pasti, sukan menyatukan semua dan awal pagi Isnin tentunya Dataran Merdeka, kedai mamak dan restoran 24 jam akan dipenuhi dengan peminat bola sepak untuk menyaksikan perlawanan yang dijadual bermula pada pukul 3 pagi waktu Malaysia itu. Ikuti ramalan jaringan gol dan siapa pasukan pilihan beberapa artis dan personaliti sukan negara pada kempen Piala Dunia kali ini yang akan melabuhkan tirainya di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, Brazil. #Aktres Nur Fathia - Argentina "Barisan pemain Argentina lebih berkualiti." #Ketua Jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee - Jerman menang 2-0 "Jerman ada kelebihan berehat dan hanya bermain 50 peratus tenaga semasa menentang Brazil." #Pelakon Kamal Adli - Argentina "Harap Jerman akan tewas kerana menumpaskan pasukan kegemaran saya, Brazil." #Pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar atau Hai-O - Argentina menang 2-1. "Skuad ini konsisten sejak dari awal kejohanan." #Pelakon dan usahawan Fizo Omar - Jerman "Berdasarkan disiplin dan corak permainan yang sempurna, Jerman layak muncul juara." # Pemain Bola Sepak Kebangsaan, Gary Steven Robbat - Jerman menang 2-0 "Jerman memiliki perancangan dan kerjasama pasukan yang sempurna." #Bekas Jurulatih Kebangsaan, Wan Jamak Wan Hasan - Jerman menang 2-0 #Pemain golf negara, Ainil Johani Abu Bakar - Jerman menang 2-1.