KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan larangan terhadap tiga kategori kenderaan berat daripada menggunakan jalan raya dalam tempoh empat hari dan masa terpilih semasa Hari Raya Aidilfitri. Tarikh-tarikh sekatan ialah pada 26 Julai dan 27 Julai, yang dijangka menjadi waktu pucak bagi orang ramai untuk pulang ke kampung, dan pada 2 Ogos dan 3 Ogos, apabila orang ramai mula pulang ke kota selepas bercuti. Sekatan itu bertujuan untuk mengurangkan kemalangan dan mahu memastikan kelancaran trafik semasa tempoh berkenaan. Berdasarkan sumber JPJ kepada The Star, kategori pertama kenderaan itu yang dilarang berada di jalan raya adalah lori muatan rendah yang membawa kayu balak dan bahan binaan, seperti simen, pasir, besi dan batu. Ia termasuk lori penggaul konkrit. Antara dalam kategori ini adalah treler yang membawa muatan kenderaan dengan berat lebih 5,000 kilogram (kg), lori membawa bahan mineral seperti logam dan batu arang serta traktor bukan kecemeasan dan trak tunda. Kategori kedua yang dilarang berada di jalan raya dari pukul 6 pagi sehingga tengah malam adalah lori kargo dan kontena yang membawa barangan elektrik dan elektronik. Bagi kategori ketiga, di mana larangan dari pukul 6 pagi sehingga 6 petang adalah kren mudah alih yang melibatkan jarak tidak lebih 25 kilometer (km) dari mana-mana tapak pembinaan di Lembah Klang, Johor Bahru, Kuantan dan Ipoh. Tiada larangan untuk kenderaan lain menggunakan jalan raya pada mana-mana hari, termasuk lori kontena yang beroperasi antara pelabuhan dan lapangan terbang ke kawasan perindustrian dan tangki minyak. Ini termasuk lori-lori yang membawa barangan harian, silinder gas dan bahan-bahan kimia untuk tujuan perubatan dan industri kimia, serta perkhidmatan kurier dan kenderaan bagi operasi menyelamat.