suria

Festival Ramadan Putrajaya Yakin Capai 1 Juta Pengunjung

PETALING JAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) yakin sasaran sehingga satu juta pengunjung Festival Ramadan Putrajaya tahun ini tercapai berdasarkan sambutan setakat minggu ke dua penganjurannya.


Tahun lalu, seramai 500,000 mengunjungi festival berkenaan.

Pengunjung ke festival itu juga berpeluang berbuka puasa dengan air zam-zam yang diedarkan PPj sehingga 27 Julai ini. Ia turut diagihkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Kompleks PPj dan Kiblat Walk.

Pada masa sama, PPj turut mengedarkan 1,000 pek kurma secara percuma setiap hari, selain menaja program berbuka puasa untuk anak yatim di sekitar Putrajaya dalam usaha menggabungkan kegiatan membeli barangan raya, juadah berbuka dan moreh dengan santapan rohani seperti ceramah agama dan persembahan bercirikan Islam.

Kenyataan yang dikeluarkan PPj memaklumkan, pengunjung turut berkongsi pengalaman unik mereka kerana dapat bersolat tarawih berimamkan Imam Samy Ahmed Abd Rahman El-Fekry dari Mesir dan tazkirah selepas tarawih bersama Mufti Islami Musa Menk dari Zimbabwe.

Bagi memeriahkan lagi festival tahun ini, Pasar Ramadan Putrajaya dipindahkan dari lokasi asal di Presint 2 ke tapak bersebelahan festival itu yang menyediakan 250 lot niaga juadah berbuka puasa.

Selain itu, 86 lot niaga dan gerai jualan di sepanjang Kiblat Walk dan di hadapan Kompleks PPJ yang menawarkan pelbagai jenis barangan persiapan menyambut Aidilfitri turut mendapat sambutan menggalakkan.

Sebanyak 215 lot niaga di Lobi Blok C dan D Kompleks PPj yang menjual produk perusahaan kecil dan sederhana yang dibimbing Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) turut mendapat sambutan.

Penganjuran festival itu adalah kerjasama strategik antara PPj dengan MTMZA, Miti dalam jualan barangan raya serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi jualan terus dari kilang.



PPj, Festival Ramadan Putrajaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain