SUNGAI PETANI: Program Bubur Lambuk Adabi dan Giant bersama Media akan dijadikan acara tahunan, selain diperluas ke Sabah dan Sarawak bagi memberi manfaat kepada lebih ramai anggota masyarakat kurang berkemampuan. Pengurus Besar (Pemasaran) GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Norine Erica Majaman berkata, program anjuran bersama Giant dan Adabi itu setakat ini hanya melibatkan Melaka, Selangor, Kedah, Johor dan Kelantan. "Sejumlah 6,000 bungkusan bubur lambuk yang dimasak hari ini menggunakan 15 periuk besar akan diagihkan ke rumah anak yatim, rumah orang tua, masjid, balai polis dan balai bomba di sekitar Sungai Petani. "Program ini diadakan buat julung kalinya di cawangan Giant di Melaka pada 28 Jun lalu, Shah Alam, Selangor (5 Julai); dan hari ini di Sungai Petani, Kedah. Seterusnya ia akan diadakan di Johor (19 Julai) dan Kelantan (26 Julai)," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu. Norine berkata, Giant mempunyai 128 cawangan di seluruh negara termasuk 17 di Sabah dan enam di Sarawak. "Sempena Program Amal Jalinan Kasih Adabi Bersama Giant yang bermula 15 Jun hingga 31 Julai 2014, kami turut mengumpul derma menerusi jualan Charity Box bernilai RM35 dan RM10 daripada hasil jualan akan didermakan. "Hasil derma akan diagihkan ke lima buah rumah anak yatim terpilih iaitu Rumah Anak Yatim Al-Nasuha di Gombak, Selangor; Rumah Anak-anak Kesayanganku di Bandar Tasik Puteri, Kuala Lumpur; Rumah Anak Yatim Opah di Klang, Selangor; Rumah Anak Yatim Sungai Buaya, Selangor; dan Rumah Anak Yatim Puchong/Cyberjaya," katanya.