suria

Warga Emas Hidup Sebatang Kara Dapat Perhatian

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU: Kedaifan seorang warga emas yang hidup sebatang kara di sebuah rumah usang di Kampung Tok Ku mendapat perhatian Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu Datuk Sabri Alwi Ahad.

Fatimah Ibrahim, 61, mendiami rumah peninggalan ibunya yang hanya menunggu masa untuk rebah ke bumi akibat hampir 80 peratus rumah yang berdinding dan berlantaikan kayu berkenaan dimakan anai-anai.

Sabri Alwi yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu berkata rumah yang didiami Fatimah itu akan dibina semula dan digantikan dengan sebuah rumah baharu di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Insya-Allah, selepas Aidilfitri ini Umno Bahagian Kuala Terengganu bersama-sama penduduk kampung akan bergotong-royong meroboh rumah Mek Nab (Fatimah) yang rumah ini memang sudah rosak teruk akibat dimakan anai-anai.

"Rumah PPRT yang baharu akan kita bina secepat mungkin sebab kita bimbang tentang keselamatan Mek Nab kalau dia terus tinggal di rumah ni," katanya kepada pemberita ketika mengunjungi warga emas itu.

Fatimah berkata beliau sangat bersyukur mendengar khabar gembira tersebut kerana tidak mampu untuk membaiki rumah berusia lebih 80 tahun itu.

"Memang mak cik bersyukur sangat bila ada pihak yang prihatin dan sudi untuk membina rumah untuk mak cik. Sebelum ni, semua orang takut nak naik atas rumah mak cik ni...mana tak nya, lantai pun berlubang-lubang, reput sana sini, silap hari bulan jatuh ke tanahlah," katanya.

Fatimah tinggal seorang diri sejak beberapa tahun yang lalu setelah anak tunggalnya, Junaidah Muda berkahwin dan berpindah ke Kampung Kuala Ibai, Terengganu.

"Anak mak cik pun kerja hanya menolong suami berniaga di pasar-pasar malam, dia pun tak mampu nak tanggung mak cik...mak cik hanya mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan untuk belanja hari-hari," katanya yang turut menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi serta jantung.


Warga Emas

Artikel Lain